Rakyat kecewa, letih wakil rakyat senang lompat parti – ISMA

Dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam bahawa majoriti ahli Dewan Rakyat tidak lagi bersama perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin boleh mengakibatkan rakyat kecewa dan letih.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Aminuddin Yahaya dalam satu kenyataan hari ini berkata sentimen itu akan timbul memandangkan dakwaan tersebut secara tidak langsung membuktikan wakil rakyat begitu gemar melompat parti demi kuasa.

“Apa yang pasti, negara akan menjadi tidak stabil, pelabur akan semakin bimbang dan ramai yang akan keluar dari melakukan perniagaan dan pelaburan di negara kita.

“Dalam keadaan pandemik yang menyebabkan ekonomi menjadi teruk ini, pastinya akan menyebabkan rakyat semakin menderita.

“Rakyat berharap agar Yang Di-pertuan Agong dapat berbuat sesuatu bagi mengembalikan ketenteraman dan kestabilan politik negara bagi mengelakkan pelbagai implikasi dan kekacauan,” katanya dalam kenyataan itu.

Semalam, Anwar, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu dalam masa terdekat.

Dalam satu sidang media tergempar di Kuala Lumpur pada Rabu, beliau menegaskan pada saat itu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin “telah jatuh”.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata sekiranya Dewan Rakyat dibubar, rakyat diharap dapat membuat persiapan dan berani membuat perubahan untuk memilih calon yang paling berwibawa dan berprinsip tidak kira parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here