Permohonan maaf Dr Kamarul tidak ikhlas, saya tolak, kata Ketua AWAN

Hanya selepas beberapa jam Dr Kamarul Zaman Yusoff memuatnaik permohonan maaf secara terbuka, permohonan tersebut telah pun ditolak Ketua Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional, Aiman Athirah Al Jundi.

Aiman yang juga Senator Dewan Negara itu mendakwa, permohonan maaf Pensyarah Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dibuat dalam keadaan mengelirukan dan salah arah.

“Tiada penarikan balik tuduhan, malah beliau cuba berhujah mewajarkan tulisan beliau sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan terbaharu.

Beliau turut mendakwa, Kamarul masih lagi mahu menyerangnya melalui status permohonan maaf yang dimuatnaik Pensyarah tersebut.

“Lebih jauh lagi, beliau masih menyerang saya melalui status terbaru tersebut.

“Saya dengan ini menolak permohonan maaf berkenaan atas faktor-faktor di atas,” katanya.

Terdahulu, Kamarul dikatakan memuatnaik tulisan melabel Aiman dengan ayat ‘Ketua Wanita AMANAH yang hipokrit’.

Aiman dengan itu memberikan tempoh 48 jam untuk penganalisis politik terbabit memohon maaf secara terbuka dan menarik semula tuduhan terhadapnya.

Kamarul dalam satu posting di Facebooknya berkata, beliau sedar akan kekhilafannya menafsir ucapan Aiman dalam satu video yang didakwa hanya di ambil dari sebahagian ucapan sahaja.

Walau bagaimanapun, beliau sempat menyindir Aiman yang juga Ketua Penerangan Pakatan Harapan itu dalam posting permohonan maaf beliau.

“Saya sangkakan beliau (Aiman) kuat semangat Melayu Islamnya, rupa-rupanya sangkaan saya ini adalah tidak betul,” tulisnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here