Zahid Perlu Bertanggungjawab Jika Ketua Menteri Sabah Bukan Dari UMNO – Lokman

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab jika wakil UMNO gagal menjadi Ketua Menteri Sabah yang akan diumum dalam tempoh terdekat.

Astro Awani melaporkan Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam menegaskan, Presiden UMNO itu juga perlu berkeras dalam menuntut isu itu kerana jumlah kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN) jelas lebih tinggi berbanding yang dimiliki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Disebabkan Ahmad Zahid tidak dengar cakap, kemungkinan besar kerusi ketua menteri perlu diberi kepada parti Bersatu.

“Semua berlaku kerana kelemahan Ahmad Zahid, akibat tindakan beliau tidak benarkan 12 Ketua Bahagian UMNO yang tidak menyokongnya selepas membantah perlantikan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai pengarah PRN, 12 orang ini telah digugurkan sebagai calon.

“Kemudian, calon BN di 12 kawasan ini telah tewas walaupun mereka sudah berkhidmat untuk rakyat sejak BN tewas PRU pada 2018 lagi,” katanya dalam catatan terbaharu di laman Facebooknya.

Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Ahad dilaporkan meminta diberi tempoh untuk membuat keputusan siapa akan diangkat sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Sebelum ini, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin dalam sebuah portal dilaporkan berkata, Ahli Parlimen BN sewajarnya menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya Ketua Menteri Sabah baharu dilantik daripada Bersatu.

Tegasnya, telah ada persefahaman bahawa BN akan menamakan Ketua Menteri jika Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Menurutnya, BN dijanjikan kerusi Ketua Menteri sebagai balasan melepaskan beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada pilihan raya umum (PRU) lalu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti menyertai Bersatu.

Dalam pada itu, kata Lokman, kemelut ini perlu diselesaikan segera untuk memastikan perkara sama tidak berulang menjelang PRU akan datang.

Sebelum ini juga, penganalisis Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, kenyataan Ahmad Zahid dalam isu sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mencetuskan suasana tegang dan tidak selesa dalam kalangan ahli parti.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here