Pernah diancam bunuh, kini pejabat disimbah cat

Itu kejadian terbaru menimpa seorang aktivis yang memperjuangkan hak-hak Orang Asal Sabah (OAS), awal pagi tadi.Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, gerak geri pelaku terbabit sempat dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang diletakan di hadapan premis berkenaan di Taman Iramanis, di sini.

Aktivis terbabit, Datuk Verdon Bahanda berkata, beliau menyifatkan kejadian berkenaan berhubung kait dengan ugutan bunuh serta kecaman atas kelantangannya di media sosial sejak kebelakangan ini.

“Ianya berhubung kait dengan ugutan bunuh yang diviralkan minggu lepas dan saya percaya serta yakin bahawa ianya dilakukan oleh ‘orang upahan’ atau pengikut-pengikut taksub pihak yang melindungi Pendatang Tanpa Izin (PTI).

“Saya tidak mempunyai musuh dalam perniagaan atau bermusuh dengan orang lain setakat ini. Saya percaya bahawa ini semua punya kaitan dengan gerakan OAS yang saya lakukan secara besar-besaran kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini, selepas membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

Verdon berkata, sudah pasti semua gerakannya yang memperjuangan hak orang asal Sabah itu menimbulkan masalah bagi mereka yang melindungi PTI.

Katanya, sudah pasti mereka juga risau apabila memikirkan bahawa gerakan yang dilakukannya itu semakin mengancam kedudukan mereka.

“Bermula dengan ugutan ‘Verdon Halal di bunuh’ dengan gambar sepucuk pistol dan magazin peluru di FB, kemudiannya timbul pula pelbagai kecaman di media sosial.

“Kini simbahan cat di bangunan perniagaan saya, ini menunjukkan bahawa segala pergerakan yang pernah dilakukan sudah mencapai matlamat sasar sehingga memaksa pelindung pihak PTI ini mula menampakkan diri dengan melakukan apa saja yang boleh memuaskan hati mereka.

“Ini semua jelas dirancang dengan teliti sebelum tindakan dilakukan dan sememangnya ada individu atau pihak yang mengupah serta melindungi mereka,” katanya.

Verdon berkata, beliau mengganggap semua itu adalah perbuatan pengecut dan mereka tidak sedar bahawa dengan perlakuan sedemikian boleh menjadikan mereka cepat di kesan oleh pihak yang berkuasa.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here