Trump Keluar Hospital Kembali Ke Rumah Putih

Presiden Donald Trump meninggalkan Pusat Perubatan Walter Reed dan menuju ke Rumah Putih untuk terus menjalani pemulihan selepas dijangkiti COVID-19, lapor agensi berita Sputnik.

Trump dilihat berjalan meninggalkan pusat perubatan itu pada Isnin petang dengan memakai pelitup muka sambil melambai kepada pihak media.

Di Rumah Putih, Trump menanggalkan pelitup mukanya ketika bergambar di atas balkoni Truman, lapor NBC News.

Kira-kira dua jam kemudian dalam rakaman video, Trump berkata rakyat Amerika tidak perlu takut kerana Amerika Syarikat (AS) mempunyai peralatan perubatan dan ubat-ubatan terbaik di dunia.

Katanya, vaksin untuk memerangi penyakit itu akan ada tidak lama lagi.

“Kami akan kembali bekerja,” kata Trump dan berikrar untuk “menewaskan” COVID-19.

Trump berkata beliau “mesti ke depan” sebagai pemimpin negara walaupun ada risikonya.

“Dan sekarang saya rasa lebih baik. Mungkin saya kebal. Saya tidak tahu,” kata Trump.

Terdahulu, pada Isnin pasukan perubatan Trump memberitahu wartawan presiden memenuhi semua kriteria untuk dibenarkan keluar hospital dan keadaannya bertambah baik sejak  didiagnosis pada Khamis.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here