Bomba giat kawal kebakaran hutan di New Zealand

Anggota bomba di New Zealand yang cuba memadamkan kebakaran yang telah memusnahkan kebanyakan tempat di sebuah perkampungan kecil di kawasan pergunungan berkata mereka sedang mencapai kemajuan yang baik semalam selepas ribut kuat akhirnya reda.

Kebakaran hutan meletus di sebuah hutan gunung di Pulau Selatan pada awal pagi Ahad lepas sebelum merebak ke bahagian lain di wilayah pelancongan popular Tasik Ohau, seterusnya memaksa penduduk untuk meninggalkan tempat kejadian dan menyelamatkan diri.

Pegawai mengakui berasa takjub apabila mendapati tiada kematian atau kecederaan dalam kebakaran itu yang kini sudah membakar kawasan seluas 55 kilometer persegi dan memusnahkan sekurang-kurangnya 50 kediaman.

Jabatan Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata, anggota bomba sedang bergerak di kawasan permukaan bumi yang sukar sambil memadamkan kebakaran dan mendirikan lingkungan di sekeliling kawasan kebakaran.

“Keadaan pada hari ini lebih baik bagi kru yang memberi ruang kepada kemajuan yang baik.

“Kira-kira 50 kakitangan, termasuk 17 kru dan pemerhati kebakaran, berada di lapangan, selain penggali dan sebuah jentolak,” katanya

Tiada laporan diterima mengenai ancaman seterusnya kepada nyawa atau harta benda, dan Jabatan Bomba dan Kecemasan New Zealand berkata beberapa penduduk Tasik Ohau telah dibenarkan pulang seketika ke rumah mereka untuk mendapatkan barangan penting.

Kebakaran hutan agak biasa berlaku di Pulau Selatan pada waktu ini setiap tahun tetapi skala dan kekuatan kebakaran di Ohau disifatkan luar biasa.

Penduduk memberitahu media tempatan bahawa kebakaran yang ganas itu umpama di luar realiti dan lebih mirip dengan kebakaran hutan besar-besaran yang kerap meletus di Australia.

Penyiasat sedang menyiasat punca kebakaran itu, di sebalik laporan bahawa ia telah dicetuskan lengkungan elektrik dari talian elektrik.

Komentari mengenai kekuatan kebakaran berkisar sekitar perubahan iklim, penularan pokok pain bukan tempatan di hutan gunung, dan kegagalan untuk membersihkan tumbuhan yang mati dari kawasan kejadian, seterusnya menjadi bahan bakar yang mencetuskan kebakaran hutan.

Saintis yang bereputasi baik dari seluruh dunia hampir sebulat suara dalam kepercayaan mereka bahawa dunia kini semakin panas disebabkan oleh kegiatan manusia.

Perubahan iklim memburukkan lagi kemarau, yang mengeringkan wilayah dan mewujudkan keadaan yang ideal bagi penularan kebakaran hutan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here