Laluan masuk ke Shah Alam sesak awal pagi

Dua laluan masuk ke Shah Alam dari Lebuhraya Shah Alam (Kesas) mengalami kesesakan teruk pagi tadi susulan pelaksanaan sekatan jalan raya (SJR) oleh polis bagi menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati kesesakan trafik hampir satu kilometer di kedua-dua susur masuk di Persimpangan Hicom dari Kesas menuju Shah Alam itu susulan pelaksanaan SJR di Persiaran Kuala Selangor.

Jurucakap Kesas ketika dihubungi berkata, kesesakan trafik berkenaan bagaimanapun kembali pulih setakat pukul 10.30 pagi tadi.

Pada masa sama, kesesakan trafik turut dilaporkan berlaku di laluan keluar dari Plaza Tol Setia Alam menghala Subang berikutan SJR yang dilaksanakan di kawasan berkenaan namun ia kembali pulih kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Pada Isnin lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya selama 14 hari bermula hari ini sehingga 27 Okt, berikutan peningkatan kes Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here