Pasukan forensik HKL dihantar ke Sabah, bantu bendung Covid-19

Seramai empat pegawai Institut Perubatan Forensik Negara, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dimobilisasi ke Hospital Tawau, Sabah hari ini, bagi menjalankan tugas perubatan forensik dan pengurusan kematian akibat Covid-19 di kawasan timur negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pasukan forensik itu membabitkan seorang pakar perubatan forensik, dua pegawai perubatan dan seorang penolong pegawai perubatan.

“Bagi pakar perubatan forensik, beliau akan bertugas di Tawau selama tiga bulan. Kesemua petugas barisan hadapan ini telah bersiap sedia untuk menjalankan tugas di lapangan dalam usaha negara membendung penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak rakyat Malaysia, terima kasih diucapkan kepada wira-wira negara ini,” katanya menerusi Facebook pagi ini.

Sehingga semalam, seramai 767 anggota perubatan dan kesihatan awam KKM daripada pelbagai kategori dan skim perkhidmatan telah digerakkan ke Tawau, Lahad Datu, Semporna, Sandakan dan Kota Kinabalu.

Hampir setiap hari terdapat kematian baharu akibat wabak itu direkodkan di Sabah sejak minggu lepas dan empat lagi kes maut dilaporkan di negeri itu semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here