4 Loji Rawatan Air Sungai Terpaksa Dihenti

Henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa Satu, Fasa Dua, Fasa Tiga dan Rantau Panjang terpaksa dilaksanakan berikutan pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor pada 2 pagi, tengah malam tadi.

Air Selangor menerusi satu kenyataan memaklumkan, tindakan segera melepaskan air secara graviti dari HORAS 600 dengan kapasiti 285 juta liter sehari serta pelepasan air mentah dari empangan sebanyak 800 juta liter sehari dilakukan.

Ia bertujuan bagi proses pencairan dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor.

“Dalam pada itu, Lembaga Urus Air Selangor telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 336 juta liter sehari untuk tujuan yang sama.

“Sehingga 6.30 pagi ini, pencemaran masih lagi dikesan di Sungai Selangor pada tahap 1 TON,” kata kenyataan tersebut hari ini.

Sehubungan itu, gangguan bekalan air tidak berjadual berlaku melibatkan 1,196,457 akaun merangkumi 1,292 kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor Gombak dan Kuala Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here