Dua penjara Pulau Pinang kekurangan pelitup muka

Dua penjara di Pulau Pinang yang kini berdepan pandemik COVID-19 memerlukan sumbangan pelitup muka bagi menampung keperluan mereka dengan penggunaan harian sekitar 4,500 keping, kata Pengarah Penjara Pulau Pinang Roslan Mohamed.

Beliau berkata masalah itu sudah dimaklumkan kepada Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara dan pihaknya sedang menunggu bekalan untuk disalurkan kepada  Penjara Reman Pulau Pinang dan Penjara Seberang Perai terbabit.

“Kami ada menerima sumbangan pelitup muka daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan tetapi masih tidak mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar Penjara Reman Pulau Pinang, di sini semalam.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar lebih banyak NGO dan mereka yang berkenaan tampil membantu menampung keperluan tersebut.

Terdahulu, Roslan dan Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang Mohamed Jusoh Ismail menerima sumbangan  barang makanan, pelitup muka dan cecair pembasmi kuman daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat Jagdeep Singh Deo.

Sumbangan barang-barang makanan itu bagi membantu 116 keluarga kakitangan Penjara Reman Pulau Pinang yang terjejas semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berkuat kuasa sejak 15 Oktober lepas.

Sementara itu, Roslan berkata susulan penularan COVID-19 di penjara terbabit, kesemua suspek yang ditangkap kini ditahan di dalam lokap balai polis untuk sementara waktu.

“… jika ada keperluan, tahanan yang terlibat akan dihantar ke Penjara Taiping,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here