Zuraida minta Anwar cermin diri

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk cermin diri terlebih dahulu apabila melabelkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebagai tidak sah dan pengisytiharan darurat adalah penyalahgunaan kuasa.

Zuraida berkata, Anwar lupa bahawa tindakannya baru-baru ini yang telah menyebabkan ‘ketidakstabilan politik’ dan mengganggu usaha kerajaan memerangi wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, Anwar yang mengadakan sidang media, bertindak keterlaluan apabila mengatakan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah runtuh dan mendakwa mempunyai ‘majoriti yang hebat serta meyakinkan’.

“Dia meninggalkan sidang media itu tanpa mendedahkan satu nama pun yang menyokong dakwaannya dan dia melakukan perkara ini di tengah-tengah krisis kesihatan. Lebih teruk apabila dia mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong tetapi gagal mengemukakan nama ahli Parlimen yang konon menyokongnya.

“Ketika dia membawa drama yang berlarutan dan sembrono ini, kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada setiap hari bergelut dengan wabak global (Covid-19),” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Ujar Zuraida lagi, Anwar seharusnya mengetepikan cita-cita menjadi Perdana Menteri ketika negara dilanda wabak Covid-19, sebaliknya menyokong kerajaan seperti yang sepatutnya dilakukan oleh seorang negarawan.

Tambah beliau, tindakan Anwar menimbulkan persoalan serius mengenai kesesuaian pemimpin PKR itu dengan jawatan tertinggi yang sangat dikejar-kejar sehingga merugikan kebajikan rakyat.

Semalam, Anwar menggesa Muhyiddin menimbangkan semula keputusan untuk melaksanakan langkah darurat seperti mana dilaporkan media.

Beliau mendakwa, tindakan tersebut adalah untuk menghalang proses Parlimen.

“Hari ini, kita mempunyai kerajaan yang tidak kukuh dan gagal untuk menunjukkan sokongan majoriti dalam Parlimen dan menggunakan isu krisis pandemik Covid-19 sebagai alasan untuk terus kekal berkuasa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here