Selepas Umno, Pas juga sokong Muhyiddin

Rakan Umno dalam Muafakat Nasional (MN), Pas menegaskan parti itu menyokong penuh dan menyatakan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memimpin kerajaan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata Pas juga menegaskan kesemua 18 Ahli Parlimen parti itu menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin.

“Pas menzahirkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Pas juga menyokong PN yang prihatin serta bertindak memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman negara dan rakyat terjamin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, MN merupakan kerjasama politik Umno dan Pas yang secara rasmi memeterai piagam bersama pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), 14 September tahun lalu.

Dari segi penguasaan Dewan Rakyat, Umno memiliki 39 kerusi Parlimen manakala Pas mempunyai 18 kerusi Parlimen.

Takiyuddin dalam kenyataannya juga menyeru seluruh rakan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk terus istiqamah mempertahankan kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan PN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here