Covid-19: SK Haji Hasan, Tapah Road Diarah Tutup

Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Hasan, Changkat Petai, Tapah Road kira-kira 80 kilometer dari sini, diarah tutup selama tujuh hari mulai esok sehingga 3 Nov depan, selepas terdapat kes jangkitan wabak COVID-19 di sekolah berkenaan.

Pengarah Pendidikan Perak Dr Mohd Suhaimi Mohamed Ali berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi oleh pihak Kementerian Kesihatan dilakukan.

“Sepanjang tempoh penutupan, pentadbir sekolah perlu memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah, dengan manual boleh dimuat naik menerusi laman sesawang www.moe.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Arahan terbaharu itu menjadikan tiga sekolah di Perak pada masa ini ditutup setelah terdapat jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar serta kakitangan sekolah.

Ia melibatkan SK Klian Pauh, Taiping yang ditutup sejak 22 Okt lalu serta Sekolah Menengah Kebangsaan Dato Haji Mohd Taib, Chemor di sini yang ditutup sejak 21 Okt lepas dan dijadual dibuka semula esok.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here