Pendedahan: Kisah di sebalik surat Zahid kepada Agong

Surat Ahmad Zahid Hamidi kepada Agong, yang mana presiden Umno itu menzahirkan sokongan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri, dihantar 48 jam selepas pertemuan bersama Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, menurut siasatan satu portal berita.

Terdapat pertemuan panas di rumah Muhyiddin dan menteri-menteri mengatakan mereka terkejut, dan konfrontasi antara perdana menteri dan Zahid di mana presiden Umno itu menuntut sebahagian daripada pemimpin partinya disingkirkan daripada Kabinet.

Surat bertarikh 11 Oktober itu, yang ditandatangani bersama bekas presiden Umno, Najib Razak dihantar menjelang panggilan mengadap Anwar ke Istana Negara pada 13 Oktober, di mana presiden PKR itu perlu membuktikan dakwaannya mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Akan tetapi dua hari sebelum itu, Zahid bertemu Muhyiddin di kediamannya di Bukit Damansara.

Dalam pertemuan itu, Zahid memberikan komitmen sokongan Umno kepada perdana menteri, selepas Anwar mengumumkan mempunyai “sokongan kukuh dan meyakinkan” untuk menumbangkan kerajaan Muhyiddin.

Sumber dalaman yang mendedahkan mengenai pertemuan itu berkata, bukan itu sahaja, Zahid turut menawarkan Bersatu pimpinan Muhyiddin untuk menjadi ahli ketiga Muafakat Nasional.

Muafakat Nasional adalah piagam yang ditandatangani Umno dan PAS ketika mereka masih pembangkang, sebagai langkah dua parti teras Melayu itu untuk merasmikan kerjasama selepas bermusuh selama berdekad-dekad.

“Tetapi 48 jam kemudian, Najib dan Zahid menghantar surat ke Istana Negara menzahirkan sokongan mereka kepada Anwar untuk menggantikan Muhyiddin sebagai perdana menteri,” kata sumber dalaman itu.

Beliau menambah surat itu disediakan tanpa pengetahuan mana-mana ahli Majlis Tertinggi Umno.

“Tiada seorang pun tahu mengenai surat itu, kecuali mereka berdua, Zahid dan Najib.”

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here