Maradona bakal jalani pembedahan buang darah beku pada otak

LEGENDA bola sepak Argentina, Diego Maradona akan menjalani pembedahan kecemasan bagi merawat hematoma subdura iaitu pengumpulan darah beku pada bahagian otak.

Perkara itu dimaklumkan doktor peribadinya kepada media pada Selasa setelah dia dimasukkan ke hospital pada Isnin.

Maradona dimasukkan ke klinik Ipensa di La Plata pada Isnin dengan gejala anemia, dehidrasi dan kemurungan, namun dilapor akan menjalani prosedur lanjut setelah mesin pengimbasan MRI mendedahkan dia menghidap hematoma subdura.

Doktor peribadi Maradona, Leopoldo Luque memaklumkan pembedahan tersebut akan dilakukan di Clinica Olivos di wilayah Buenos Aires pada Selasa.

“Kami telah melakukan imbasan MRI sebulan yang lalu dan semuanya normal.

“Namun, kami mengulangi semula imbasan dan pemeriksaan tersebut dan kami mendapati ia adalah hematoma subdura.

“Jenis-jenis kecederaan ini sukar untuk dijumpai, saya tidak tahu sama ada dia (Maradona) pernah mengalami sebarang serangan atau terjatuh,” kata Luque.

Malah, Luque menjelaskan Maradona akan menjalani rutin operasi yang sama dilakukan ke atas Naib Presiden Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner, yang turut menghidap penyakit yang sama.

“Panoramanya tidak berubah, dia akan terus menjalani diagnosis klinikal yang sama, tetapi sekarang kita mempunyai diagnosis yang lebih konkrit.

“Dia (Maradona) dimaklumkan mengenai perkara itu (penyakit), dia sangat memahami dan bersetuju untuk menjalani operasi terbabit. Malah, dia tidak berasa sedih mahupun marah,” kata doktornya

Tambahnya lagi, sekiranya pembedahan berjaya, Maradona boleh pulang ke rumah setelah 48 jam.

Dalam pada itu, ketua kakitangan perubatan pasukan kebangsaan Argentina, Donato Villani ketika ditemu bual saluran berita TyC Sports berkata bahawa pembedahan seperti itu akan berjalan lancar.

Namun, ia bergantung dengan tahap kesihatan Maradona kerana dia turut menghidap masalah jantung, mempunyai sejarah pengambilan ubat-ubatan lain dan alkohol.

Maradona menguruskan pasukan divisyen satu Gimnasia y Esgrima de La Plata tetapi direhatkan dari latihan pasukan sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19 kerana dia tergolong dalam kumpulan risiko.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here