Lelaki Cucuk Mata Buaya Untuk Lepaskan Diri, Elak Diseret

Lelaki warga Indonesia nekad mencucuk mata buaya yang menyerangnya ketika menuai buah kelapa sawit berhampiran parit ladang, semalam.

Harian Metro melaporkan ketika kejadian, Sulu Maralang, 46, sedang menjalankan kerja sebelum diserang buaya dari arah parit dan menggigit peha kirinya.

“Mangsa yang panik kemudiannya mencucuk mata buaya berkenaan bagi melepaskan diri daripada diseret masuk ke dalam parit terbabit,” kata Ketua Polis Daerah Lawas, Deputi Superintendan Roslan Leman.

Menurutnya, mangsa kemudiannya mengadukan insiden terbabit kepada penolong pengurus ladang sebelum pegawai perubatan ladang memberikan rawatan awal.

“Sejurus itu, mangsa dihantar ke Hospital Lawas dengan menggunakan kenderaan khas ladang bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, buaya berkenaan dilaporkan kerap muncul di sekitar parit terbabit.

Difahamkan, buaya sepanjang 5 meter itu turut ditangkap pekerja ladang dengan jerat sebelum diserahkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here