Kuala Lumpur, Ogos-
Pas Wilayah Persekutuan menggesa tindakan segera diambil terhadap laporan mengenai keadaan 40 peratus tanah bawah Kuala Lumpur terdedah kepada risiko bencana lubang benam atau tanah mendap.
Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Azhar Yahya berkata, keadaan itu sesuatu yang amat membimbangkan memandangkan risiko tersebut boleh menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk, merosakkan infrastruktur serta harta benda.
Azhar sehubungan itu berkata, Pas Wilayah Persekutuan menyeru kepada semua agensi yang berkaitan termasuk Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa tempatan lain untuk mengambil tindakan segera bagi menangani isu itu.
“Kami menggesa agar kajian menyeluruh dan tindakan proaktif dilaksanakan dengan segera untuk mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko tinggi serta mengambil langkah-langkah mitigasi yang perlu.
“Kami juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk memastikan keselamatan warga Kuala Lumpur terjamin,” ujarnya dalam satu kenyataan di laman Facebook Pas Wilayah Persekutuan.





















