Spesies haiwan terancam ditemukan di Hutan Simpan Kuala Langat

Jabatan Perhilitan Selangor menemui spesies haiwan terancam di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) pada Mac lalu, kata EXCO alam sekitar.

Hee Loy Sian berkata antara yang ditemui ialah kelawar jenis ‘Small Disc Roundleaf Bat’ iaitu spesies yang jarang dijumpai di negeri semenanjung Malaysia dan Musang Jebat (Viverra Zibetha).

“Musang Jebat ialah haiwan yang disenaraikan hampir terancam oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN) ditemui di HSKLU.

“Manakala kelawar itu pula kali terakhir di jumpai pada 2007 di Rezab Hidupan Liar Sungkai,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Loy Sian berkata empat spesies mamalia dilindungi turut ditemui di hutan simpan yang sama iaitu Ungka Tangan Putih, Lotong Cengkong atau Dusky Leaf Monkey, beruk daripada jenis Macaca Nemestrina dan kera jenis Macaca Fasciculari.

Jelasnya, semua hidupan liar berkenaan dilindungi sepenuhnya melalui Akta 716 dan dikategorikan sebagai terancam di bawah senarai merah spesies terancam IUCN.

“Bagaimanapun, habitat burung didapati terjejas disebabkan penerokaan hutan oleh orang tempatan. Namun begitu, Hutan Simpan Kuala Langat masih mempunyai habitat semula jadi yang baik serta mampu memberikan perlindungan kepada spesies burung kawalan biologi seperti burung hantu.

“Burung hantu yang tinggal di hutan akan mencari makan di sekitar ladang-ladang sawit atau di pinggir hutan. Secara tidak langsung ia dapat mengawal komposisi tikus perosak secara semula jadi,” katanya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here