Langgar SOP PKPB: Polis rakam keterangan ADUN Ketari

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari, Young Syefura Othman tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang untuk dirakam keterangan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), semalam.

Young Syefura berkata, beliau hadir bersama peguamnya, Syahredzan Johan.

“Keterangan saya telah dirakam dan saya memberi kerjasama penuh kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan pendakwa raya dalam menentukan tindakan yang akan diambil terhadapnya.

“Saya berharap apa-apa tindakan yang akan diambil adalah adil dan saksama tanpa layanan berbeza walaupun saya seorang wakil rakyat.

“Saya kesal dan sekali lagi memohon maaf di atas apa yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat memaklumkan polis menerima dua laporan berhubung isu berkenaan.

Sebelum ini, Young Syefura atau lebih dikenali sebagai Rara meminta maaf kerana didakwa melanggar SOP semasa menyambut ulang tahun kelahiran di tepi pantai sebuah resort di Sepang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here