346 sekolah belum laksana percubaan SPM

Sebanyak 346 daripada 2,350 sekolah atau 15 peratus masih belum melaksanakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr Habibah Abdul Rahim berkata, ia berikutan sekolah berkenaan terlibat dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lebih awal daripada negeri-negeri lain.

“Sepatutnya mereka melaksanakan peperiksaan percubaan, namun terpaksa ditangguhkan kerana pelaksanaan PKPB,” katanya pada taklimat media penutupan operasi sekolah dan Kolej Vokasional seluruh Malaysia dan pelaksanaan home-based learning serta tarikh baharu peperiksaan awam di sini semalam.

Menurutnya, sekolah terbabit di Wilayah Persekutuan, Selangor dan Sabah masih berpeluang untuk melaksanakannya apabila sesi pembelajaran dibuka pada 20 Januari depan.

“Pihak sekolah boleh menjadualkan semula peperiksaan percubaan supaya ia dapat digunakan untuk mengukur kesediaan pelajar bagi menduduki peperiksaan sebenar yang bermula 22 Februari,” katanya.

Beliau berkata, baki jumlah 2,004 sekolah telah menyelesaikan peperiksaan percubaan SPM dan ia merangkumi 85 peratus daripada keseluruhan jumlah sekolah.

Ditanya mengenai tahap kesediaan pelajar yang telah menduduki peperiksaan percubaan, Habibah berkata, maklumat itu digunakan untuk membantu pelajar dan sekolah.

“Hasil analisis akan dibentangkan dalam dialog prestasi peringkat negeri akhir bulan ini bagi melihat negeri dan mata pelajaran mana yang terkesan akibat pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya.

Menurutnya, hasil analisis itu juga akan melihat bagaimana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat membantu sekolah agar tindakan tertentu boleh diambil bagi meningkatkan prestasi.

“Ia (analisis) bukan untuk maklumat umum,” katanya.

Seramai 400,445 calon peperiksaan SPM 2020 sepatutnya menjalani peperiksaan bertulis pada fasa pertama bermula 5 hingga 14 Oktober dan fasa kedua pada 2 hingga 19 November.

 Namun tarikh tersebut dipinda kepada 16 November sehingga 7 Disember sebelum ia dijadualkan semula pada 22 Februari 2021.

Habibah berkata, penjadualan semula peperiksaan tidak akan menjejaskan kemasukan ke pengajian tinggi di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.

“Kita telah ambil kira dari segi tempoh peperiksaan berlangsung, penilaian (scoring) dan pengumuman keputusan,” katanya.

Ditanya adakah kementerian bercadang untuk melaksanakan peperiksaan percubaan secara dalam talian, beliau berkata, ia akan dilakukan sekiranya sistem membenarkan ia dilaksanakan.

“Tetapi kita tahu ada jurang dari segi akses kepada peranti dan rangkaian untuk melaksanakannya pada masa ini.

“Untuk masa hadapan, ia merupakan satu cara yang kami pertimbangkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here