SUAMI LENGKAP VAKSIN BOLEH TEMAN ISTERI BERSALIN, KATA KJ

Petaling Jaya, Sept 27-

Suami yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 diberi kebenaran oleh Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menemani isteri yang akan melahirkan anak di wad bersalin.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, beliau sudah meminta Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan.

Katanya, bagaimanapun suami yang mahu menemani isteri dalam wad bersalin perlu menjalani ujian Covid-19 dan disahkan negatif, sebelum dibenar berbuat demikian.

“Saya sudah minta Dr Noor Hisham membenarkan bakal bapa yang lengkap divaksinasi dan menjalani ujian saringan Covid dan negatif, untuk menemani isteri mereka dalam wad bersalin,” katanya di Twitter.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas permintaan seorang pengguna Twitter, @f_scottphytz yang memohon suami lengkap divaksin dan negatif ujian saringan Covid-19 dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.

Sementara itu, Hisham yang turut memberi reaksi menerusi Twitter memaklumkan akan mengeluarkan arahan membenarkan suami yang lengkap divaksin dan bebas Covid-19 menemani isteri dalam wad bersalin.

“Ya, saya akan laksanakan apa yang diperlukan,” katanya.

Terdahulu, hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri di dewan bersalin sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here