Mencetak wang idea baik, kata pakar ekonomi

Seorang pakar ekonomi menyokong idea seorang timbalan menteri yang mencadangkan bank pusat mencetak dan mengedarkan wang tunai kepada orang ramai dengan berkata, ia adalah “idea berani dan di luar kotak”.

Bercakap kepada FMT, pengerusi Gerakan Keadilan Monetari Ahamed Kameel Mydin Meera berkata, langkah itu diwajarkan semasa berlakunya kelembapan ekonomi kerana tahap kecairan rendah.

Beliau berkata, tahap kecairan yang rendah akan menekan dan melemahkan pelaburan baru dalam ekonomi, yang akan memberi kesan ke atas kemampuan bank mengeluarkan pinjaman baru.

Faktor ini menyebabkan kerajaan perlu menggerakkan semula ekonomi.

Beliau juga berkata, pemberian tunai akan menyaksikan wang disuntik ke dalam ekonomi, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan.

“Ini sudah pasti akan membantu perniagaan dan mengekalkan pekerjaan.”

Kameel berkata, idea Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal selari dengan teori kewangan moden.

“Menurut teori ini, kerajaan boleh mendapatkan sebanyak mana pun wang untuk perbelanjaan fiskalnya, dengan langkah semak dan imbang yang tersedia, dan menggunakan cukai bagi mengawal inflasi.”

Beliau mengakui terdapat hujah yang menyebut bahawa langkah mencetak dan mengedarkan wang boleh menyebabkan inflasi dan menjatuhkan nilai mata wang, tetapi berkata, ia boleh dielakkan dengan pengurusan berhemah.

Geoffrey Williams dari HELP University menyifatkan idea tersebut “sangat munasabah” dengan berkata, ia pernah digunakan dalam bentuk pelonggaran kuantitatif selepas Zaman Kemelesetan di Amerika Syarikat pada 1930-an, di Jepun pada akhir 1990an dan berikutan krisis kewangan dunia pada 2008.

Beliau berkata, Malaysia boleh mengambil langkah itu bagi memenuhi cadangan bekas perdana menteri Najib Razak supaya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 daripada Akaun 1 mereka.

“Kaedah ini boleh dilakukan jika KWSP menjual sebahagian daripada pegangannya ke atas sekuriti kerajaan Malaysia (MGS) kepada Bank Negara bagi membolehkan bank pusat itu mencetak wang baru.

“Ia boleh diagihkan kepada pencarum KWSP melalui program i-Sinar.

“Ini bermakna KWSP tidak perlu mencairkan aset berasaskan ekuiti miliknya, sekali gus melindungi harga dan pasaran saham.”

William percaya langkah membenarkan pengeluaran simpanan semasa pencarum umumnya bukanlah idea yang baik.

“Pelonggaran kuantitatif dengan membeli MSG daripada institusi kewangan adalah alternatif lebih baik,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here