JPDP siasat enam aplikasi pemberi pinjam wang dalam talian

Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) telah membuka kertas siasatan terhadap enam aplikasi dalam talian Pemberi Pinjam Wang (PPW) tidak berlesen yang disyaki melakukan penyalahgunaan data peribadi.

Enam aplikasi tersebut adalah Asialend, Dreamlend, iPayfren, iPinjaman, Helplend4u dan GoCash4u.

JPDP dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan kertas siasatan dibuka dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengikut Seksyen 5 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].

Menurut JPDP, entiti berkenaan boleh didenda maksimum RM300,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

“Kesemua aplikasi dalam talian PPW ini didapati telah mengakses dan menyalin maklumat lain termasuk data peribadi tidak berkaitan dengan urusan pinjaman tanpa kebenaran peminjam,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, peminjam yang data peribadinya telah disalahguna oleh aplikasi dalam talian PPW tidak berlesen diminta menghubungi Bahagian Penguatkuasaan JPDP melalui e-mel penguatkuasaan@pdp.gov.my atau Sistem Perlindungan Data Peribadi (daftar.pdp.gov.my) bagi membantu siasatan.

JPDP juga mengesyorkan rakyat Malaysia supaya lebih berhati-hati apabila membuat pinjaman secara dalam talian terutamanya semasa memberikan persetujuan terhadap aplikasi yang telah dimuat turun bagi mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mempunyai akses tidak sepatutnya.

Semua peminjam dinasihati membuat semakan terlebih dahulu dengan Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi mengetahui status pendaftaran PPW berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here