Kawalan keselamatan diperhebat menjelang angkat sumpah Joe Biden

MENJELANG angkat sumpah jawatan Joe Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat, ancaman kumpulan ekstremis yang dijangka melakukan demontrasi di bangunan-bangunan pentadbiran mendorong beberapa gabenor mengerahkan kekuatan anggota keselamatan.

Ini berlaku kurang dua minggu pasca rusuhan di bangunan Capitol Hill di Washington.

Di beberapa negeri, tunjuk perasaan dan demonstrasi meletus menjelang pelantikan Biden sebagai Presiden Amerika Syarikat ke-46, 20 Januari ini.

Di Michigan misalnya, sekumpulan kecil penunjuk perasaan yang bersenjata muncul di Capitol Michigan pada Ahad sebelum dikepung penguatkuasa.

Sebilangan mereka mempromosikan gerakan anti-pemerintah ‘boogaloo’, istilah yang membawa maksud perang saudara kedua atau keruntuhan tamadun.

Beberapa yang lain, secara terbuka, mengenakan topeng Presiden Donald Trump, yang akan tamat tempoh pemerintahannya Rabu nanti.

Polis negeri, pengawal kebangsaan dan penguatkuasaan undang-undang tempatan memperhebatkan kawalan keselamatan di bangunan negara yang berusia 142 tahun itu dan beberapa bangunan pentadbiran lain.

Menurut polis, protes berlaku dalam keadaan aman.

Di Harrisburg, pasukan pengawal kebangsaan mengawasi dan membuat rondaan di Capitol State Pennsylvania.

Namun, tiada sebarang demonstrasi atau tunjuk perasaan meletus.

Bagaimanapun, langkah-langkah keselamatan dipertingkatkan bagi melindungi keselamatan negara selain mengelak insiden sama berlaku sebagaimana di bangunan Capitol, 6 Januari lepas.

Di Georgia, bangunan State Capitol di Atlanta, dikawal rapi pegawai peronda disertai oleh pasukan pengawal kebangsaan dan kenderaan perisai mereka.

Beberapa pagar dan kereta peronda negara digunakan untuk menyekat jalan.               

Tambahan polis dan penguatkuasa kebangsaan juga digunakan bagi mengalih laluan jalan di hadapan bangunan Capitol.

Bagaimanapun tinjauan awal mendapati, kawasan di luar Capitol Georgia lengang dan sunyi pada awal pagi.

Sekumpulan penunjuk perasaan dilihat membawa bendera Amerika Syarikat dan berkumpul di bangunan Statehouse South Carolina.

Kumpulan itu termasuk penyokong Trump yang bekerjasama dengan kumpulan demonstrasi lain mendakwa ia adalah bagi menyokong suara hak sama rata.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here