Mengutip benih kerang secara haram?

Persisiran pantai di Sungai Leman dekat sini bertukar menjadi ‘pesta’ apabila sekumpulan 20 bot nelayan didakwa menceroboh dan mengutip benih kerang secara haram dari tapak semaian.

Aktiviti mengutip benih kerang secara haram itu bermula jam 11 malam tadi dan aktiviti tersebut mula disedari selepas kedengaran deruman enjin diesel bot nelayan, pada jarak lebih kurang 0.5 batu nautika dari pantai Sungai Leman.

Lebih mengejutkan apabila pesisiran pantai Sungai Leman bertukar menjadi pesta apabila disimbahi dengan suluhan lampu sorot yang digunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk mencuri benih kerang.

Menurut Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang makluman mahupun laporan polis daripada nelayan yang terjejas akibat aktiviti haram itu.

“Sekiranya pihak kami menerima laporan mengenai aktiviti mengutip kerang secara haram ini, kami akan salurkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini pihak polis tidak menerima sebarang aduan mengenainya. Semua kesalahan mengutip benih kerang ini terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perikanan.

“Mungkin orang awam maklum perkara ini namun tidak disalurkan kepada pihak polis,” katanya.

Dalam pada itu, IPD Sabak Bernam sedia menerima sebarang makluman mahupun laporan polis daripada mana-mana pihak berhubung jenayah pengutipan benih kerang.

“Apa-apa pun laporan yang dibuat, kita akan terima dan kita akan buat justifikasi berkait dengan laporan itu, kalau ia bidang kuasa polis, polis akan ambil tindakan, kalau Jabatan Perikanan, kita akan salur kepada mereka,” jelasnya.

Pihak polis juga menasihatkan mana-mana nelayan yang terjejas dengan jenayah pengutipan kerang haram agar tampil ke hadapan dan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka (nelayan) boleh buat laporan polis di mana-mana balai dan kita akan salurkan kepada Jabatan Perikanan berhampiran,” katanya.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here