Selangor hadapi sembilan kali pencemaran air

Tahun 2020 menyaksikan Selangor melalui sembilan siri pencemaran sumber air mentah dan lapan kali gangguan bekalan air yang sering kali menjejaskan sebahagian besar pengguna di negeri ini dan di Lembah Klang.

Semasa orang ramai menyinsing lengan baju untuk mengangkut air bagi kegunaan harian acap kali berlakunya gangguan bekalan, ada juga pihak yang menggunakan sungai-sungai di negeri ini dengan sewenang-wenangnya untuk melupuskan sisa buangan termasuk sisa buangan berjadual.

Malah, penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mencemarkan sumber air mentah di Selangor.

Pencemaran sumber air mentah di beberapa sungai penting di Selangor menyebabkan loji-loji rawatan air (LRA) utama iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas, rata-rata berikutan isu pencemaran minyak dan bau.

Insiden pertama pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan ke atas jutaan pengguna berlaku pada 17 Mac lepas dan siasatan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati ia berpunca daripada sebuah bengkel jentera berat di sekitar Sungai Gong, Rawang yang terlibat dalam penstoran sisa minyak.

Selang seminggu iaitu pada 27 Mac, LUAS menyatakan LRA SSP1, SSP2 dan SSP3 terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor dalam insiden pencemaran kedua disyaki berpunca daripada sebuah kilang bahan binaan di Bestari Jaya.

Namun ketiga-tiga LRA itu beroperasi semula kira-kira tiga jam kemudian selepas kerja-kerja mengawal baki aliran minyak selesai dengan tiada gangguan bekalan air.

Dalam insiden pencemaran ketiga, kurang sebulan daripada insiden sebelumnya, penduduk di Selangor dan Lembah Klang diuji dengan gangguan bekalan air kali kedua pada 16 April apabila empat LRA utama berkenaan dihenti tugas ekoran aliran air daripada sebuah kolam ternakan ikan di Hulu Selangor telah mencemarkan sumber air mentah di Sungai Selangor.

Pada 27 Mei, gangguan bekalan air kali ketiga berlaku apabila LRA Sungai Selisik dihenti tugas ekoran tumpahan minyak diesel dalam insiden pencemaran kali keempat, menjejaskan 742 akaun pengguna Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di lapan kawasan di Hulu Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here