DAP, PH tiada hasrat haramkan judi di Malaysia, kata Pas

Hakikat sebenarnya DAP dan PH tiada hasrat pun mahu mengharamkan judi dari bumi Malaysia, dakwa AJK Pas Pusat Dr Mohd Zuhdi Marsuki.

“Hakikat ini terbukti apabila DAP sebelum ini sememangnya berpendirian tidak mahu judi diharamkan di Malaysia, cuma mereka menuntut kekerapan cabutan khas itu dikurangkan manakala cabutan biasa judi ramalan nombor yang dibuat selain daripada hari Selasa setiap minggu tetap diteruskan,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, cara DAP membantah peningkatan kekerapan cabutan khas di Dewan Negara kemudian disambut oleh tentera siber PH yang cuba mengelirukan masyarakat awam, seolah-olah kekerapan cabutan judi ramalan nombor ini hanya 8 atau 22 setahun.

“Sedangkan sebenarnya kekerapan cabutan judi ramalan nombor selain daripada cabutan khas, ialah tiga kali seminggu iaitu sekitar 162 kali setahun. Persoalannya mengapa DAP dan PH membisu mengenai kekerapan 162 tersebut?,” katanya.

“Manakala PAS sememangnya dari dahulu bertegas untuk mengharamkan sepenuhnya judi dari bumi Malaysia temasuklah judi ramalan nombor, iaitu 162 cabutan biasa dan 8 atau 22 cabutan khas. Malah di dalam Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) yang dikemukakan oleh PAS sebelum PRU ke-14 yang lalu, pengharaman sepenuhnya industri judi ini disasarkan menjelang 2025 iaitu di dalam Fasa Pertama WINS antara 2018 sehingga 2030,” katanya lagi.

Beliau berkata, pengharaman sepenuhnya industri judi ini dijangka mengambil tempoh tertentu kerana ia bukan sahaja melibatkan judi berlesen, tetapi juga melibatkan judi tidak berlesen dan judi dalam talian.

“Kegiatan judi berlesen sama ada rumah judi terbuka seperti Kasino Genting Highland atau judi ramalan nombor seperti Toto, Magnum, dan Da Ma Cai mudah dibenteras dengan kehendak politik pemerintah, manakala judi tidak berlesen dan judi dalam talian berbeza,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata pasukan penggubal WINS di bawah as berhasrat untuk mengemukakan cadangan penuh atau proposal WINS membersihkan kegiatan judi di negara ini kepada Kerajaan Malaysia.

”Sebelum dikemukakan kepada pihak kerajaan, proposal tersebut akan dikemukakan kepada semua pihak sama ada NGO-NGO dan parti-parti politik untuk diperkukuhkan dan ditambah baik” jelasnya lagi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here