Projek Bandar Belia Komanwel di Tanjung Malim disambung semula

Kerajaan negeri Perak akan menyambung semula projek pembangunan Bandar Belia Komanwel di Tanjung Malim yang dihentikan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, projek pembangunan itu yang dilaksanakan semasa pentadbiran bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merupakan sebahagian daripada pelan pembangunan Wilayah Selatan Perak.

“Perancangan (pembangunan projek Bandar Belia) tergendala apabila (pentadbiran) kerajaan negeri berubah pada 2018 dan dengan dasar kerajaan (PH) pada masa itu, jadi projek itu tercicirlah.

“Jadi, apabila saya datang (dilantik sebagai menteri besar) secara kebetulan juga (Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA)) dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dahulunya hanya memberi perhatian kepada pembangunan di kawasan Utara Perak, turut bersetuju untuk melaksanakan projek pembangunan di kawasan Selatan Perak juga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Dewan Belia Negeri Perak Tahun 2021-2022 dan Majlis Apresiasi Sukarelawan Belia Perak yang turut dihadiri Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri Khairul Shahril Mohamed, di sini semalam.

Saarani berkata, projek pembangunan tersebut dilaksanakan kerana terdapat beberapa institusi pengajian tinggi awam di daerah tersebut selain ia dijangka turut mempengaruhi pertumbuhan Bandar Automotif di Tanjung Malim yang bersempadanan dengan Lembah Klang.

“Secara kebetulan Selangor sudah sesak, maka mereka (pelabur) berpindah perusahaan dan industri ke sempadan Perak-Selangor. Jadi, kita mengambil kesempatan dengan memberi perhatian untuk meneruskan semula pembangunan di Wilayah Perak Selatan,” katanya.

Sebelum ini, Tanjung Malim akan dibangunkan sebagai Bandar Belia Komanwel pertama di dunia yang akan memanfaatkan infrastruktur awam sedia ada, kemudahan dan kerjasama dengan kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), sektor swasta dan masyarakat awam.

Projek berwawasan ini diumumkan Putera Wales, Putera Charles semasa Sidang Kemuncak Pemuda Komanwel pada November 2017, disokong oleh kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Perak dengan kerjasama Pusat Inovasi Pemuda Komanwel dan majlis pemuda tempatan di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here