Ayam habis jam 7 pagi

Johor Bahru: Ketiadaan bekalan ayam segar di sekitar bandar raya ini menyebabkan kebanyakan peniaga bahan mentah itu kehabisan stok seawal 7 pagi dan terpaksa menutup perniagaan awal. Tinjauan di pasar basah sekitar Taman Dahlia, Tampoi dan Perling, di sini, mendapati hampir semua lot niaga yang menjual ayam segar sudah ditutup dengan pekerja sibuk membersihkan lot niaga masing-masing.

Pengguna yang tiba di pasar basah berkenaan juga dilihat kecewa apabila mendapati tiada lagi ayam segar untuk dibeli bagi kegunaan keluarga mereka. Peniaga ayam di Pasar Taman Dahlia, Abdul Nasir Mohd Noh, 50, berkata, kekurangan bekalan ayam segar menyebabkan bahan mentah yang dijual di lot niaganya habis pada 7 pagi tadi.

Katanya, pengguna berpusu-pusu membeli ayam segar, awal pagi tadi, apabila laporan bekalan ayam tiada hari ini hingga Isnin nanti tular di media sosial. Hari ini bekalan ayam segar yang diperoleh memang tidak cukup dan sangat sedikit. Semua peniaga ayam di pasar ini sudah kehabisan bekalan ayam pada 7 pagi tadi menyebabkan terpaksa menutup lot niaga masing-masing seawal 9 pagi.

“Sebelum ini saya biasa tempah 2,000 ayam sehari daripada pembekal, namun sejak puasa lalu hanya diberikan antara 200 hingga 500 ayam sahaja. Oleh kerana masalah bekalan ayam segar tempatan semakin buruk, saya dan beberapa peniaga sedang dalam proses mendapatkan ayam segar daripada Thailand. Harganya pun lebih kurang harga ayam di negara kita, Insya-Allah, jika berjalan lancar seminggu dua ini akan dapat bawa masuk.

“Isu kekurangan ayam segar dengan bekalan tidak stabil bukan sahaja mengecewakan pengguna malah peniaga pun buntu apatah lagi sering ditekan pembekal yang memberi harga tinggi,” katanya ketika ditemui, hari ini. Khamis lalu, media melaporkan penutupan sementara sebuah kilang pengeluar ayam di Jasin, Melaka pada hari ini dan esok, tidak akan menjejaskan bekalan bahan makanan itu di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima penjelasan syarikat pengeluar ayam terbabit bahawa tindakan itu bagi membolehkan ayam yang dihasilkan menepati saiz ditetapkan bagi dipasarkan.

Dalam pada itu, pengguna, Bakar Umarsyah, 42, berkata, dia terpaksa menangguhkan majlis rumah terbukanya yang akan berlangsung esok. Dia sudah ke empat pasar basah selain pasar raya besar yang kesemuanya tidak mempunyai bekalan ayam segar, hari ini.

“Saya dan keluarga sangat kecewa apabila ayam segar tiada langsung di pasaran bandar raya ini. Semalam, peniaga kata bekalan di Johor Bahru dijangka tidak terganggu, namun apabila saya ke beberapa lokasi pasar dan pasar raya memang tiada bekalan ayam segar.

Peniaga makanan, Salmah Ahmad,56, pula berkata, ketiadaan bekalan ayam yang dijangka hingga Isnin ini menyebabkan dia juga tidak dapat membeli ayam seperti biasa. Biasanya saya tempah 15 ekor ayam setiap dua hari, namun peniaga hanya dapat beri 10 ekor kerana bekalan tiada.

Saya risau jika bekalan terus tiada, peniaga kecil seperti kami yang mengharapkan pendapatan harian, tidak dapat berniaga pula selepas ini. Menu ayam disukai ramai, jika tiada susahlah, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here