Skandal kartel daging: Dua pegawai direman

Dua pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor yang disiasat berhubung isu kartel daging, direman lima hari mulai hari ini.

Tangkapan itu dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor selepas mereka hadir memberi keterangan berhubung penyeludupan daging sejuk beku dari negara yang dilarang.

Kedua-dua suspek berusia 27 dan 31 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Johor malam tadi bagi membantu siasatan kes tersebut.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai penahanan itu berikutan kes masih dalam siasatan.

Pagi tadi kedua-dua suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru sekitar jam 10 pagi tadi bagi permohonan perintah reman oleh polis.

Permohonan reman bagi dua orang Penolong Pegawai MAQIS itu dibuat di Bilik Reman, Tingkat 3 Mahkamah Johor Bahru.

Penolong Pendaftar Nurul Izzaty Muhammad Zahari membenarkan kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga 11 Januari ini untuk membantu siasatan SPRM negeri tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here