Bentong, Mei.
Polis berjaya mengesan pemandu dan treler susulan kejadian tayar kira-kira 30 kenderaan pancit di Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) pada Isnin hingga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu treler berusia 27 tahun dikesan pada Rabu dan hadir ke pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada Khamis untuk diambil rakaman percakapan.
Menurutnya, hasil siasatan mendapati pada hari kejadian sebuah treler membawa muatan besi skrap dari Balakong, Selangor menuju ke Gebeng, Kuantan dipercayai menyebabkan beberapa serpihan besi jatuh ke atas jalan.”Dalam kejadian ini, tiada sebarang kecederaan kepada pemandu atau penumpang kenderaan yang terlibat, kebanyakannya mengalami kerosakan tayar pancit, ” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pihak polis turut menerima dua laporan berhubung kejadian ini iaitu dari seorang lelaki berusia 30 tahun dan juga pegawai peronda LPT berusia 44 tahun.