Hantar jenazah guna lori

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa menggunakan lori bagi menghantar jenazah untuk dikebumikan di tanah perkuburan berikutan jalan masuk ke Kampung Padang, Permaisuri di sini dinaiki air.

Pegawai APM Daerah Setiu, Kapten (PA) Nizu Husin berkata, jenazah remaja berusia 17 tahun itu bagaimanapun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Padang pada malam Khamis.

Menurutnya, Jalan Permaisuri ke Hulu Seladang ditutup kepada semua kenderaan ringan susulan laluan sepanjang 410 meter di kawasan itu dinaiki air hampir satu meter.

“Seramai tujuh anggota APM Setiu terlibat dalam operasi khidmat masyarakat ini. Kita ambil jenazah berkenaan di Hospital Setiu selepas Maghrib sebelum dihantar ke Masjid Kampung Padang.

“Kita terpaksa menggunakan lori memandangkan laluan ke kampung tersebut dinaiki air dan hanya boleh dilalui dengan lori. Jenazah tiba kira-kira jam 8.30 malam di masjid untuk solat jenazah sebelum dikebumikan selepas solat Isyak,” katanya di sini pada Jumaat.

Terengganu kini mengalami banjir gelombang kelima dengan mangsa kini menghampiri 13,000.

Empat daerah di Terengganu yang terjejas dengan banjir ialah Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here