Cuaca panas, kering akan landa negara

Kuala Lumpur, Feb-
Cuaca panas dan kering dijangka melanda kebanyakan tempat terutamanya di kawasan Utara Semenanjung termasuk Perak serta Pahang dan Kelantan bermula bulan ini sehingga Mei.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Mohd Hisham Mohd Anip, berkata negara kini berada pada fasa penghujung Monsun Timur Laut yang dijangka berakhir pada pertengahan Mac dan dalam tempoh itu, litupan awan serta taburan hujan akan berkurangan.

“Ketiadaan hujan dalam tempoh yang panjang boleh menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding kebiasaan.

“Situasi cuaca panas dan kering yang dialami pada ketika ini adalah fenomena berulang yang berlaku setiap tahun bermula pada Februari hingga Mei,” katanya dalam kenyataan.

Hisham berkata dalam tempoh itu, catatan suhu harian tertinggi boleh melebihi 35 darjah celsius pada awal petang.

Beliau berkata, bacaan suhu tertinggi dicatat di stesen-stesen jabatan itu seluruh negara semalam adalah 36.1 darjah celsius yang direkod di Felda Teloi Kanan, Baling, Kedah.

Selain itu, gelombang haba dan jerebu setempat juga berpotensi berlaku dalam tempoh berkenaan, namun keadaan tersebut diramal tidak seteruk tahun lalu disebabkan pengaruh La Nina lemah yang sedang berlaku sekarang dan dijangka berterusan sehingga pertengahan tahun ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here