3 RAMD laksana Op Murni terhadap penduduk terjejas banjir

Pegawai dan anggota dari Trup Tentera Darat, Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja (3 RAMD) diaturgerak melaksanakan bantuan pengagihan makanan sekitar kawasan Matunggong, Kudat. 

Laman Rasmi Facebook Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5DIV) semalam berkata keanggotaan pasukan berkekuatan seramai 2 seksyen itu diketuai oleh Lt Muhammad Anas Azmi. 

“Pasukan tersebut berjaya diaturgerak ke Kampung Tomboluran Ondou, di sini sebaik menerima maklumat penduduk kampung yang terputus hubungan berikutan jalan utama ke kampung tersebut dinaiki air. 

“Selain itu, pasukan turut membantu memberi bantuan agihan 40 bakul makanan daripada Pejabat Daerah Kecil Matunggong, Kudat untuk diagihkan kepada penduduk di beberapa kawasan terbabit termasuklah Kampung Limpazou dan Pekan Sikuati,” katanya.

Tambahnya pada masa sama 1 seksyen juga turut ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Tun Haji Datu Mustapha bagi membantu penugasan bersama agensi awam yang lain seperti APM, RELA dan KKM Daerah Kudat dalam usaha untuk mengagihkan bekalan makanan di pusat pemindahan tersebut. 

Penugasan secara kolaborasi bersama bantuan agensi awam ini turut disertai oleh beberapa agensi awam lain di bawah inisiatif Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Kudat. 

Penggunaan bantuan dua buah trak 3 ton bersama sebuah bot tempur milik pasukan juga diaturgerak ke kawasan terjejas.

“Bantuan kepada agensi awam ini adalah selari dengan Perintah Ulung PTD ke-28 dalam Tonggak Kelima yang menekankan berkenaan peningkatan hubungan Tentera Darat dengan awam yang sentiasa bersedia membantu rakyat dalam apa jua situasi yang memerlukan. 

“Bagi langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dan pematuhan standard operation procedure (SOP), kesemua anggota dan kenderaan yang terlibat disanitasi setelah selesai penugasan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here