Penginapan pekerja asing menjijikan, KSM buka kertas siasatan

Kementerian Sumber Manusia (KSM) membuka kertas siasatan terhadap dua premis perniagaan di Jalan Masjid India yang baru-baru ini didapati menyediakan penginapan kepada pekerja asing yang digajikan tanpa sebarang perakuan.

Operasi yang diadakan oleh Pasukan Task Force Program Saringan Kesihatan Covid-19 (TFSKC-19) pada 18 Januari yang lalu turut mendapati terdapat kesalahan lain di bawah Akta 446 turut dikesan seperti ruang sesak dan tiada pengudaraan yang baik.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua premis menyediakan penginapan kepada pekerja asing yang mereka gajikan tanpa sebarang perakuan dan majikan juga belum membuat sebarang permohonan untuk mendapatkan perakuan tersebut,” kata KSM menerusi kenyataan.

Operasi oleh TFSKC-19 itu turut disertai oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Ketika operasi melaporkan kehidupan sekumpulan warga asing yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar terkemuka di Masjid India di sini menyedihkan.

Mereka hanya tidur beralaskan papan nipis di katil masing-masing kerana tilam yang disediakan majikan dipenuhi pijat.

Lebih menyedihkan mereka juga ditempatkan dalam bangunan lama dua tingkat yang sempit, tiada peredaran udara sempurna dan juga tiada laluan kecemasan jika berlaku sebarang bencana.

Untuk rekod, pasukan TFSKC-19 yang terdiri daripada Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) ditubuhkan bagi melaksanakan operasi khas ke tempat majikan yang menggaji pekerja asing.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here