Polis tahan tiga anggota Geng Ah Boon

Polis menahan tiga lelaki anggota ‘Geng Ah Boon’ di Kampung Baru Dengkil semalam yang disyaki menyamun seorang warga Bangladesh di kawasan tapak pembinaan berhampiran Stesen LRT Bandar Puteri, Puchong dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Serdang, Razali Abu Samah berkata suspek yang berumur antara 27 dan 43 tahun itu dipercayai terlibat dengan kes samun wang tunai RM1,200, pasport, kad bank dan barangan peribadi milik pekerja tapak pembinaan berkenaan.

Beliau berkata polis turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, lima bilah pisau, sebilah parang serta lima telefon bimbit milik suspek, dan semua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau kes narkotik dan pecah rumah itu didapati positif syabu.

“Mereka dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah itu sejak setahun lepas, dan semua suspek kini direman selama lima hari mulai hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan, bersenjata serta menyebabkan kematian atau kecederaan ,” katanya dalam kenyataan.

Dalam perkembangan lain, polis menahan empat warga asing dalam dua serbuan berasingan di sebuah kondominium di Kuchai Entrepreneurs Park, semalam kerana disyaki terlibat dengan kegiatan judi dalam talian.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Anuar Omar dalam satu kenyataan berkata dua lelaki warga China berusia 30 dan 34 tahun ditahan dalam serbuan pertama manakala seorang lelaki berusia 22 tahun serta seorang wanita berusia 20 tahun, kedua-duanya warga Indonesia, ditahan dalam serbuan kedua pada hari yang sama.

“Semua suspek direman di bawah Akta Imigresen 1959/63 selama empat hari bermula hari ini dan kes sedang disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Anuar berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas antaranya wang tunai berjumlah RM55,000, 21 telefon bimbit dan dua komputer riba.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here