Tak perlu batal cuti Thaipusam, kita kan ‘1Malaysia’, kata Najib

Najib Razak tidak melihat sebarang keperluan untuk membatalkan cuti hari Thaipusam, susulan pengumuman kerajaan Kedah semalam yang membatalkan cuti itu susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 2.0.

Bekas perdana menteri itu mengingatkan Thaipusam antara perayaan terpenting bagi kaum India, serta beberapa negeri sudah puluhan tahun mengisytiharkan perayaan itu sebagai hari cuti.

“Walaupun perayaan tahun ini terkesan akibat PKP, tiada perlunya untuk batalkan hari cuti sebab keluarga dari kaum India masih boleh meraikannya di rumah masing-masing.

 “Kita kekalkan sahaja tradisi ini. Kita satu Malaysia,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Semalam, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata Kedah membatalkan cuti untuk Thaipusam bagi tahun ini, susulan pembatalan semua aktiviti bersempena Thaipusam kerana pelaksanaan PKP.

Hanya Kedah membatalkan Thaipusam sebagai cuti peristiwa tahun ini. Pulau Pinang dan Selangor tidak berbuat demikian, sungguhpun sambutan pelbagai acara bersempena Thaipusan dibatalkan kerana wabak Covid-19.

Tindakan Sanusi itu mengundang kritikan daripada pimpinan MIC, antaranya Timbalan Presiden M Saravanan, yang berkata keputusan itu menyerlahkan sikap angkuh dan jahil beliau terhadap penganut Hindu.

Beliau kesal Sanusi tidak mengadakan sebarang rundingan dengan pemimpin pusat MIC yang mewakili kaum India dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here