Suhakam gesa kerajaan agih vaksin Covid-19 tanpa diskriminasi

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa kerajaan untuk mengagihkan vaksin Covid-19 secara percuma kepada semua termasuk golongan rentan, pelarian, migran, orang tanpa kewarganegaraan, tahanan dalam pusat tahanan dan banduan dalam penjara tanpa diskriminasi berdasarkan status kewarganegaraan mereka.

Suhakam menerusi kenyataan pada Selasa berkata, hak kepada kesihatan adalah hak asasi yang sepatutnya dinikmati oleh semua pihak.

“Akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk vaksin adalah satu aspek penting bagi hak kepada kesihatan.

“Golongan rentan, pelarian, pekerja migran dan pekerja tanpa dokumen dan orang tanpa kewarganegaraan menghadapi risiko dipinggirkan dalam sistem kesihatan sedia ada atas pelbagai sebab termasuk status dan kewarganegaraan mereka, dan ketidakmampuan untuk menanggung kos penjagaan kesihatan,” katanya.

Menurutnya, Persekutuan Majikan-majikan Malaysia dalam satu kenyataan pada 19 April 2020 melaporkan bahawa terdapat lebih kurang 2.5 juta pekerja migran berdokumen di negara ini, dan ini tidak termasuk bilangan pekerja migran tanpa dokumen kerana tiada data yang jelas tentang perkara ini.

Selain itu, Suhakam memohon agar kerajaan mempertimbangkan cadangan berkenaan kerana pandemik Covid-19 tidak mendiskriminasi dan memberi kesan kepada semua termasuk golongan rentan.

Tambahnya, menerusi perkembangan yang dimaklumkan kerajaan pada bulan Disember tahun lepas, bekalan vaksin Covid-19 pada masa kini akan membolehkan 82.8 peratus rakyat Malaysia menerima vaksin tersebut.

“Suhakam mengambil maklum tentang beberapa laporan berita pada minggu pertama Januari 2021 yang menyatakan bahawa Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merancang untuk mencadangkan agar vaksinasi percuma diberikan kepada pekerja migran dalam negara.

“Dalam hal ini, Suhakam berharap JKJAV akan memperhalusi perkara ini dan memastikan agar vaksinasi percuma diberikan kepada semua termasuk pekerja migran, pekerja tanpa dokumen, pelarian, orang tanpa kewarganegaraan, tahanan dalam pusat tahanan dan banduan dalam penjara,” ujarnya.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengumumkan vaksin Covid-19 fasa pertama akan mula diagih kepada kira-kira satu juta rakyat negara ini bermula bulan Febuari.

Beliau berkata, vaksin Covid-19 berkenaan akan diberikan kepada barisan hadapan negara terlebih dahulu, ia diikuti golongan pesakit kronik termasuk buah pinggang, sakit jantung, paru-paru dan diabetes.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here