Tak dapat basikal, lelaki Myanmar tikam pekerja kedai

Seorang pekerja di sebuah kedai perkakasan (hardware) menerima empat jahitan selepas ditikam dalam kejadian amuk di Jalan Ipoh di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, mangsa merupakan warga Bangladesh berusia 25 tahun cedera di bahu kiri akibat ditikam menggunakan pisau.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku apabila suspek yang merupakan warga Myanmar berusia 20 tahun datang ke premis terbabit untuk mengambil basikal kanak-kanak, namun dihalang oleh mangsa.

“Suspek kemudian beredar, namun tidak lama selepas dia datang semula ke kedai berkenaan dengan membawa pisau.

“Suspek terus menikam mangsa di bahagian kiri bahu selain bertindak agresif dengan merosakkan barang-barang di dalam kedai berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arifai berkata, berlaku pergelutan semasa kejadian sebelum mangsa bersama rakan sekerjanya menangkap suspek dan menghubungi polis.

Katanya, mangsa dan suspek yang cedera dibawa ke Hospital Selayang untuk menerima rawatan.

“Polis turut merampas sebilah pisau yang digunakan suspek untuk menikam mangsa.

“Kes disiasat mengikut seksyen 324/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here