AS dijangka bakal dibadai ribut kuat

Satu ribut musim sejuk yang sangat kuat dijangka menurunkan salji tebal di beberapa bahagian di timur laut Amerika Syarikat (AS) yang menempatkan bandar-bandar utama seperti New York, selepas melanda bandar utama negara kelmarin.

Perkhidmatan Cuaca Negara mengeluarkan amaran ribut dari Virginia ke Maine, kawasan yang didiami puluhan juta penduduk, dan diramalkan penurunan salji antara 45 hingga 60 senti-meter di selatan New York, timur laut New Jersey dan beberapa bahagian di barat daya Connecticut.

Gabenor New Jersey Phil Murphy telah mengeluarkan perintah kecemasan pada malam kelmarin, memberikan kuasa kepada pihak berkuasa untuk menutup jalan raya, mengosongkan rumah dan menguruskan peralatan yang diperlukan bagi keselamatan umum.

Beliau turut menghentikan semua pengangkutan awam di seluruh negeri semalam dengan harapan menangani kesan ribut dan menyelaraskan dengan syarikat utiliti bagi kes gangguan bekalan elektrik.

“Cas peralatan anda, dan sekiranya anda mengalami gangguan bekalan elektrik, laporkannya dengan segera,” tegas beliau kepada penduduk New Jersey dalam Twitter.

Ribut, yang melanda California dengan salji setinggi lebih enam kaki dan hujan lebat pada minggu lepas, kemudian bergerak ke arah wilayah barat tengah, menjatuhkan kira-kira lapan inci salji di Chicago, menurut NWS.

Penurunan salji bermula semalaman Sabtu hingga Ahad di Washington.

Satu amaran ribut musim sejuk daripada NWS meramalkan di antara tiga dan lima inci di kawasan sekitar Washington dan Baltimore, Maryland.

Ribut dijangka berterusan di wilayah itu sehingga sehari ini, menyaksikan campuran ais, hujan beku dan hujan yang mendinginkan.

Menurut seorang pegawai Rumah Putih, Presiden Joe Biden telah bertemu dengan para penasihat kelmarin bagi membincangkan mengenai pelbagai isu termasuk ribut musim sejuk, selain vaksin COVID-19 dan bantuan ekonomi.

Sementara itu, penduduk Washington bergegas keluar untuk bermain salji, membina orang salji dan meluncur.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here