Zahid tepis desakan letak jawatan

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menggesa ahli parti itu menghormati institusi jawatan presiden kerana beliau dipilih secara demokratik, bukannya dilantik ke jawatan berkenaan.

Beliau berkata, meletak jawatan bukan penyelesaian masalah.

“Saya bertanya pada diri saya, kalau saya sebagai ketua bahagian, adakah dalam kalangan ketua cawangan kemudian yang memilih kita dahulu sebagai ketua bahagian, kemudiannya desak letak jawatan, adakah kita mahu letak jawatan?

“Oleh kerana desakan, maka ketua bahagian itu katakan dia dipilih secara demokratik. Bukan dilantik, tapi dipilih, tentunya orang itu tak nak letak jawatan,” katanya dalam temubual yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau mengulas beberapa desakan daripada Umno bahagian untuk meletak jawatan.

Terbaru, Umno Paya Besar memberi alasan Zahid perlu meletak jawatan kerana “lemah ketegasan tindakan”, di sebalik pergolakan dalam parti yang berpaksikan kerjasama Umno dengan PPBM.

Zahid berkata, ia bukan soal mahu meletak jawatan atau tidak, tetapi ahli Umno perlu menghormati pilihan yang dibuat perwakilan berdasarkan perlembagaan parti.

“Dan kita harus hormati perlembagaan kerana perlembagaan menetapkan institusi kepimpinan, sama ada di peringkat cawangan atau bahagian, negeri atau nasional.

“Sebab termaktub dalam perlembagaan, (ia) mesti dijunjung setiap ahli dan kalangan kepimpinan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here