Sembilan ditahan leka berjudi di kedai kopi

Sembilan individu termasuk enam warga emas ditahan ketika leka bermain judi di sebuah kedai kopi di Jalan Tamby Kecil, di sini pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, individu berusia antara 44 hingga 70 tahun itu ditahan dalam serbuan pada jam 2 petang.

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada tujuh lelaki dan dua wanita.

“Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut. Kita turut merampas pelbagai peralatan judi antaranya dadu, buah mahjong dan cip beraneka warna.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM4,178 yang ditemui di atas meja pertaruhan ketika serbuan,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Tambahnya, siasatan mendapati, kedai kopi tersebut menjadi tumpuan kaki judi sejak Jumaat lalu ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Kita sedang mengesan pemilik premis tersebut untuk siasatan lanjut kerana difahamkan pemilik premis yang juga seorang lelaki itu dikatakan penganjur kepada kegiatan perjudian tersebut.

“Dia mengenakan bayaran RM100 bagi 20 kali berjudi. Sementara itu, kita turut mengeluarkan kompaun terhadap dua wanita dan seorang lelaki yang kesemuanya berusia 46 hingga 66 tahun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here