Seramai 90 orang juruvaksin di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) telah menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi mengekang penularan COVID-19 terutamanya dalam kalangan petugas barisan hadapan.
Menurut Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr Zaiton Udin, sebanyak 90 orang juruvaksin diberikan vaksin pada hari ini (Isnin) dan diikuti 90 orang petugas lagi pada 3 Mac nanti.
“Tujuan vaksin ini diberi lebih awal kepada 180 petugas ini adalah bagi membantu melancarkan proses pemberian suntikan vaksin kepada kakitangan HSB pada minggu hadapan.
“Secara tidak langsung, ia memberi keyakinan kepada semua rakyat Malaysia terutamanya rakyat di negeri Kedah bahawa tidak ada keraguan dan ketakutan lagi untuk divaksinasikan dan dengan itu kita mengharapkan semoga penularan COVID-19 dapat dikekang,” katanya yang ditemui di hospital tersebut, di sini semalam.
“Perasaan saya sangat gembira di mana vaksin yang ditunggu-tunggu telah kita terima dan berharap agar rakyat mahupun rakan-rakan setugas di HSB turut yakin dan tidak ragu-ragu dengan suntikan vaksin COVID-19 ini.
“Rata-rata yang saya jumpa sangat yakin dengan vaksinasi ini, tetapi bagi mereka yang masih ada keraguan atau tidak mahu mengambil vaksin ini bolehlah merujuk atau mendapat khidmat nasihat daripada yang pakar dalam bidang vaksinasi COVID-19 ini,” katanya.
Dalam pada itu di LANGKAWI, seramai 42 petugas barisan hadapan di sini turut menerima suntikan vaksin tersebut.
Pegawai Kesihatan Daerah Langkawi Dr Mansor Ismail, amat berpuas hati melihat perjalanan Program Pemberian Imunisasi COVID-19 yang masuk hari kedua ini berjalan dengan lancar dengan mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“Saya menyeru kepada penduduk Langkawi berumur 18 tahun ke atas untuk menerima suntikan Vaksin COVID-19 ini, lindungi diri anda dan lindungi semua supaya kita dapat melandaikan keluk pandemik COVID-19 dan menstabilkan ekonomi kita semula,” katanya yang turut menerima suntikannya di Klinik Kesihatan Kuah, semalam.
Menurut Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Kuah Dr Lai Gong Chin, penerima suntikan perlu mematuhi beberapa prosedur semasa menerima suntikan ini.
“Antaranya ialah saringan suhu badan, imbasan kod My Sejahtera, pendaftaran, proses suntikan dan menunggu di ruang pemerhatian selepas menerima suntikan.
“Semasa di ruang pemerhatian, penerima suntikan perlu menunggu selama 15 hingga 30 minit untuk memastikan tiada kesan sampingan selepas suntikan, sekiranya tiada apa-apa gejala mereka dibenarkan untuk balik,” katanya.