16 durian Musang King RM6,000 dirampas

Enam belas biji durian Musang King bernilai RM6,000 yang cuba dibawa ke Indonesia dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Selasa lepas, kerana tidak memiliki permit eksport dan sijil fitosanitasi.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata pemeriksaan rutin yang dijalankan pada kira-kira 12.30 tengah hari terhadap empat kotak yang dibawa seorang lelaki tempatan, menemukan kesemua durian seberat 56 kilogram itu dan lelaki berkenaan juga gagal mengemukakan permit eksport dan sijil fitosanitasi.

“Buah durian tersebut dipercayai untuk dihantar kepada majikannya di Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perbuatan mengeksport apa sahaja tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanah atau mikroorganisma tanpa permit adalah salah mengikut Seksyen 11(2), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali, katanya.

Menekankan bahawa pihaknya akan sentiasa tegas dan teliti dalam menjalankan aktiviti penguatkuasaan di pintu masuk Malaysia, Zamri berkata: “Ia bagi menjamin keselamatan pertanian dan makanan negara. Di samping itu, untuk memastikan makanan yang keluar ke Malaysia mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here