Sultan Selangor dukacita ada umat Islam permainkan agama

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dan dukacita dengan sikap segelintir umat Islam sesuka hati mempermainkan agama, tanpa memikirkan perbuatan itu boleh menjejaskan akidah mereka.

Baginda bertitah, apa juga iktikad atau pernyataan dalam hati, sama ada percakapan atau perbuatan oleh umat Islam yang berhasrat keluar agama, dikhuatiri membawa kepada kegelinciran akidah.

Justeru, baginda menasihatkan rakyatnya yang beragama Islam agar sentiasa berhati-hati ketika mengeluarkan kata-kata bagi menjaga akidah dan keislaman mereka.

“Beta kecewa dan dukacita dengan perkara ini, kerana asas kepada kepercayaan umat Islam adalah mengakui akan keesaan Allah dengan mengucap dua kalimah syahadah.

“Sebagai umat Islam, kita perlu sentiasa berpegang kepada keyakinan bahawa hanya Allah yang berhak disembah dan Nabi Muhammad sebagai Pesuruh Allah,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Sulit, Datuk Muhamad Munir Bani hari ini.

Sultan Selangor bertitah, bagi yang berpegang dengan Islam sebagai agamanya, adalah berpegang secara mutlak terhadap prinsip tauhid dan akidah sepanjang kehidupan mereka.

Bahkan, tindakan segelintir umat Islam khususnya di Selangor yang mengugut untuk keluar dari agama Islam apabila berhadapan dengan sesuatu masalah hanya menunjukkan rapuhnya keyakinan mereka terhadap agama dan Allah.

Baginda sangat berpegang kepada keyakinan bahawa Islam dan iman adalah satu anugerah dan nikmat dari Allah kepada umat-Nya.

Oleh itu, hendaklah seseorang itu menjaganya dengan baik dan penuh kesabaran dalam apa juga situasi termasuk dalam keadaan selesa atau kepayahan.

“Betapa seriusnya kesalahan perbuatan murtad ini digambarkan dalam bentuk hukuman mengikut hukum syarak bagi seseorang yang murtad atau keluar dari agama Islam.

“Ada yang telah diberi peluang untuk bertaubat, tetapi tidak mahu bertaubat, mereka ini boleh dihukum mati menurut pendapat majoriti para ulamak termasuk Mazhab Imam Syafi’e,” titah baginda.

Titah baginda, tindakan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menguatkuasakan undang-undang adalah suatu proses biasa berlandaskan peruntukan undang-undang.

Malah, baginda telah menitahkan semua tindakan yang dibuat oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan JAIS hendaklah selaras dengan prinsip yang mendukung keutamaan dakwah, mendidik, mencegah dan meningkatkan kefahaman Islam yang betul kepada masyarakat.

“Sebagai umat Islam dan rakyat Malaysia, khususnya Selangor, seharusnya akur kepada proses undang-undang dan mematuhi setiap prosedur yang telah digariskan di bawah undang-undang.

“Bahkan, beta mahu MAIS dan JAIS sentiasa memelihara serta mempertahankan akidah aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sebarang unsur dan ideologi yang boleh merosakkannya,” titah baginda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here