Ekonomi akan membangun 7%- Muhyiddin

Ekonomi Malaysia dijangkakan akan membangun diantara enam kepada tujuh peratus dalam beberapa bulan tahun ini memandangkan pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan bagi memperkasakan sektor berkenaan.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memberikan jaminan berkenaan kerana kerajaan kini sudah mampu mengurus pandemik COVID-19 dengan baik, ditambah dengan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang berjalan lancar di seluruh negara.

“Ekonomi kita akan kembali membangun dalam tempoh beberapa bulan ke hadapan ini dengan pelbagai pakej bantuan yang diperkenalkan kepada rakyat.

“Ekonomi kita dijangka meningkat dari enam kepada tujuh peratus, peluang pekerjaan akan diwujudkan dengan lebih banyak, rakyat pula akan menikmati kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika menyampaikan amanat beliau pada Majlis Makan Malam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di sini, hari ini.

Beliau berharap kerjasama GRS di negeri ini akan terus kukuh seterusnya membawa manfaat kepada rakyat Sabah.

Muhyiddin juga memberikan jaminan bahawa segala permasalah rakyat Sabah akan diberikan perhatian sewajarnya.

“Saya juga mahu memberikan jaminan bahawa Kerajaan Pusat kini memberikan sokongan 110 peratus kepada Kerajaan GRS di sini.

“Kita akan ambil langkah terbaik untuk membantu rakyat Sabah, sejak menjadi Perdana Menteri, saya sentiasa berhubung dengan Ketua Menteri Sabah,” katanya.

Katanya, hubungan Kerajaan Pusat dan Sabah akan diteruskan. Pembelaan rakyat akan diberikan sepenuhnya kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Saya tidak akan membiarkan seorang pun rakyat tertinggal dibelakang.

“Bantuan yang diumumkan akan disampaikan dan perlu disampaikan kepada rakyat secara segera  tanpa ada kelewatan,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor serta barisan Kabinet Sabah yang lain.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here