Rakyat digalak terima suntikan vaksin COVID-19

Semua rakyat digalak menerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai langkah awal untuk menghadapi kehidupan baharu dan memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pandemik COVID-19 harus ditangani segera demi memulihkan semula ekonomi dan mensejahterakan kehidupan rakyat.

“Justeru rakyat harus memberi kerjasama kepada kerajaan dengan secara sukarela menerima vaksin,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Malaysia Prihatin Pengurusan Pandemik COVID-19 di Rumah Sang Lasa, Rantau Chire dekat Nanga Kemalih, Ulu Entabai, kelmarin.

Beberapa siri penerangan Program Malaysia Prihatin Pengurusan Pandemik COVID-19 diadakan di seluruh negara secara berperingkat untuk memaklumkan rakyat mengenai pentingnya mendapatkan vaksin dan memulihkan ekonomi negara dengan cepat.

Aaron yang juga Ahli Parlimen Kanowit menjelaskan, penganjuran program tersebut penting bagi menangkis dakyah golongan antivaksin yang sengaja memutar belit keadaan sebenarnya.

Katanya, Ahli Parlimen dan Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dikategorikan sebagai barisan hadapan dalam fasa pertama mendapatkan vaksin  COVID-19.

“Ia adalah sebagai promosi dan mereka juga lebih kerap berjumpa dengan rakyat.

“Selepas mendapatkan vaksin, saya berharap mereka sama-sama memberi penjelasan kepada rakyat mengenai kebaikan mendapatkan vaksin yang tidak mempunyai kesan sampingan,” ujarnya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan Rolland Duat Jubin, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Kesihatan II Danny Bungan, Setiausaha Politik Ketua Menteri Brian Fung Kok Shiun, wakil Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Paul Sazin Riget, wakil Residen Bahagian Sarikei Henry Gimong Sawat, Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei Dr Emmanuel Joseph Fong dan wakil Pegawai Daerah Pakan Adrian Melepong.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here