Buka pakaian seragam elak ditahan

Kajang: Helah tukang cuci warga warga asing membuka pakaian seragam dengan memakai pakaian biasa bagi mengaburi mata pihak berkuasa gagal apabila mereka ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sebuah universiti swasta di Semenyih, di sini, kelmarin.

Malah ketika serbuan itu ada yang cuba lari dengan mendaki bukit di belakang bangunan asrama dan bersembunyi di dalam bilik kecil namun gagal. Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Sri Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan seramai 33 orang warga asing pelbagai warganegara yang bekerja sebagai tukang cuci dan tukang kebun.

Menurutnya, universiti berkeluasan 47 hektar dan terbahagi kepada 10 blok utama diserbu oleh Bahagian Operasi, Siasatan dan Pendakwaan JIM Putrajaya. Hasil pemantauan dan risikan mendapati kesemua warga asing ini bekerja dari jam 7 pagi sehingga 4:30 petang di dalam kawasan universiti ini.

Operasi bermula pada jam 11 pagi dengan kekuatan seramai 28 orang pegawai imigresen dan memeriksa 40 orang warga asing dari pelbagai warganegara yang berusia lingkungan 22 hingga 67 tahun katanya dalam kenyataan hari ini. Khairul Dzaimee berkata, hasil pemeriksaan, seramai 33 orang warga asing ditahan terdiri daripada 27 warganegara Indonesia, empat warganegara Pakistan, seorang warganegara Bangladesh dan seorang warganegara Nepal.

Semasa serbuan dilakukan, warga asing yang bekerja sebagai tukang kebun cuba melarikan diri dengan memanjat bukit yang terletak di belakang bangunan asrama pelajar manakala tukang cuci cuba mengaburi mata pegawai penguatkuasa dengan membuka pakaian seragam mereka dan menggunakan pakaian biasa.

Ada juga yang bersembunyi di dalam bilik kecil namun segala usaha warga asing ini berjaya dipatahkan dengan tindakan pantas anggota serbuan, katanya. Beliau berkata, hasil maklumat risikan yang diperoleh, pekerja warga asing ini sudah bekerja di universiti ini lebih kurang dua tahun dan tidak pernah memiliki pas serta tiada dokumen pengenalan diri.

Syarikat yang menggajikan warga asing ini juga dikatakan tidak pernah memohon Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi pekerjanya. Sebanyak tujuh saman saksi dikenakan ke atas pengurus dan penyelia di syarikat itu bagi mengesan majikan sebenar, katanya. Katanya, antara kesalahan yang dikenalpasti adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, langgar syarat pas dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen.

Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan mengikut Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here