Tangguh Undi18: PN percaya majoriti pemuda marah kepadanya

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, Undi18 ditangguhkan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) percaya majoriti pemuda marah dengan mereka.

Mengulas keputusan SPR menangguh Undin18 ke September tahun depan berbanding Julai 2021 ini Najib berkata, kerajaan PN kurang minat untuk melaksanakannya.

“Saya percaya kerajaan PN tidak mahu melaksanakan Undi18 sebab mereka percaya majoriti pemuda marah dengan kerajaan pada ketika ini,” kata beliau menerusi Facebooknya.

Namun, kata Ahli Parlimen Pekan itu, usul Undi18 ini telah diluluskan sebulat suara oleh semua ahli parlimen pada bulan Julai 2019 “dan kita diberitahu bahawa ianya akan dilaksanakan selewatnya dua tahun kemudian iaitu bulan Julai 2021 yang semakin menjelang.”

“Maka kerajaan PN telah terperangkap dan masih terfikir mahu laksanakan ke tidak Undi18 kerana tidak meluluskannya bermaksud penghinaan paling besar terhadap parlimen dan proses demokrasi.

“Pendapat saya ialah jika ianya telah diluluskan sebulat suara tanpa sebarang bantahan atau mana-mana ahli parlimen yang berkecuali, maka Undi18 patut dilaksanakan mengikut jadual yang dipersetujui,” katanya.

Usul di Dewan Rakyat dengan majoriti 2/3 menyokong boleh tukar perlembagaan persekutuan, katanya.

“Ini kan usul dengan sokongan 100% undi secara sebulat suara?” kata beliau lagi.

Najib melahirkan kekecewaannya ekoran janji yang diberi dalam parlimen tidak ditepati sebab ianya tak logik untuk kerajaan memerlukan tempoh sepanjang lebih 3 tahun untuk melaksanakan Undi18.

“Saya percaya orang muda tidak akan mudah lupa kemungkiran janji ini.

“Saya pernah jangka kerajaan PN akan kurang ingin laksanakannya – seperti apa yang saya tulis pada awal bulan,” kata beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here