Nelayan gesa JPS tangani isu pencemaran kerang di Sungai Juru

Persatuan Nelayan Unit B Kuala Juru di sini merayu pihak yang berkenaan agar mengambil peduli masalah yang dihadapi mereka berikutan kerja-kerja mendalamkan Sungai Juru sejak Disember lepas menyebabkan ternakan kerang mereka tercemar.

Ketuanya Baharu Edin berkata pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang pada awal bulan ini, namun hingga kini tiada tindakan diambil.

“Kerja mendalamkan sungai itu menyebabkan berlaku mendapan lumpur, selain selut yang dikorek juga diletakkan di tebing sungai, tidak seperti dijanjikan iaitu diangkut ke tempat lain.

“Apabila air deras, lumpur akan mendap kembali ke bawah dan hidupan kerang akan terjejas,” katanya.

Baharu, 74, mendakwa projek tersebut menyebabkan kawasan ternakan kerang seluas 27.9 hektar di sepanjang Sungai Juru musnah dengan anggaran nilai benih kerang yang rosak sekitar RM130,000.

“Kalau ikut anggaran, benih kerang terbabit boleh menghasilkan pendapatan sekitar RM700,000 apabila dituai kelak,” katanya, dan turut mendakwa peraih yang membeli kerang ternakan mereka memulangkan kembali kerang tersebut kepada nelayan kerana berbau busuk serta dicemari sisa lumpur.

“Kami harap sangat pihak JPS atau mana-mana agensi terlibat untuk datang lihat sendiri situasi yang kami alami kerana kami bukannya daripada golongan yang senang,” katanya, menambah kawasan terbabit diusahakan oleh 15 nelayan.

Sementara itu, Pengarah JPS Pulau Pinang Syukri Muslim ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya sedang menyiasat perkara tersebut dan buat masa ini kerja-kerja mendalamkan sungai berkenaan dihentikan sementara waktu.

“Kita belum dapat laporan rasmi daripada Jabatan Perikanan Pulau Pinang sama ada kerang-kerang tersebut mati disebabkan faktor semula jadi ataupun kesan daripada kerja-kerja mendalamkan sungai, jadi saya harap semua pihak bersabar,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here